Tuesday 19 May 2009

Tiada amalan politik wang dalam Pas


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tidak ada amalan politik wang dalam Pas sebagaimana dakwaan Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Mohamad Daud Iraqi pada 15 Mei lalu.

Menurutnya, maklum balas itu diperoleh hasil taklimat daripada Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Ketua Dewan Pas Pusat dan beberapa pimpinan pusat lain.

“Ini bererti kita mengumpulkan maklumat dari semua negeri berhubung dengan pendedahan politik wang itu dan kita mendapati ahli Pas serta pemimpin bebas dari perbuatan terbabit.

“Oleh sebab itu kita menafikan sekeras-kerasnya laporan media yang mengaitkan Pas dengan amalan rasuah serta politik wang,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas kini dapat meneruskan peningkatan parti berasaskan Islam dengan melibatkan semua golongan masyarakat, ulama dan profesional termasuklah pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Kita mengambil sikap terbuka dengan menerima semua pihak tidak kira dari kalangan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Pas telah berjaya mendidik (mentarbiahkan) ahli-ahli parti dari atas sehingga ke akar umbi,” katanya. Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan berlaku pemberian sagu hati atau sogokan oleh calon kepada perwakilan pada kempen pemilihan menjelang Muktamar ke-52 parti itu Jun hadapan.
Bagaimanapun beliau amat sedih jika kegiatan tersebut melanda ahli-ahli Pas. Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ahli Pas serta kepimpinan perlu mendukung konsep kepimpinan ulama yang turut melibatkan dua kalangan iaitu ulama dan profesional.

“Kita semua telah berjaya memperkasakan Pas dengan konsep Islam dan kita akan berusaha memban-teras politik kotor,” katanya.

No comments:

Post a Comment