Friday 12 June 2009

UST ABU BAKAR HUSSIN PESURUHJAYA BARU PERAK


Teka-teki siapakah yang akan dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Perak yang baru telah terjawab apabila Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak , Ust. Abu Bakar Husein dilantik ke jawatan itu mengganti tempat yang dikosongkan oleh mantan Naib Presiden PAS sesi lalu, Ust. Ahmad Awang.

Pemilihan Ust. Bakar dianggap sebagai suatu penerusan kepada tradisi bagi negeri Perak yang membarisi dikalangan ulama sebagai Pesuruhjaya nya.

Sesampainya saya di Perak pada tahun 1991 saya masih ingat pada masa itu PJ nya ialah Ust. Azizan Desa, sesudah itu diganti oleh Ust. Kamarussin Awang Basir, Tuan Guru Hj. Sabran Asmawi dan sessi lalu Ust. Ahmad Awang.

Demikianlah silih berganti PJ PAS Perak dikalangan yang bergelar Ustaz dan sekali ini tekaan banyak pihak PJ akan dilantik dikalangan Ustaz terjawab sudah.

Berasal dari Kuala Kurau dalam Parlimen Parit Buntar, Ust Abu Bakar Husein adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai YDP PAS Kawasan gopeng untuk beberapa penggal yang lalu. Dalam Pilihanraya umum yang lepas, beliau bertanding di DUN Pengkalan Baru dan hanya kalah dengan majoriti yang begitu kecil iaitu 14 undi kepada calon BN. Beliau juga adalah pesara guru agama yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh.

Banyak yang mepertanyakan kepada saya mengenai kedudukan DS. Nizar setelah beliau tidak dipilih ke jawatan itu ?

Sebenarnya saya masih melihat banyak peranan yang masih berada di pundak DS. Nizar untuk meneruskan gelombang rakyat bagi mengembalikan kuasa di Perak dengan kerjasama tentunya dari PJ yang baru ini.

Saya yakin dengan kemampuan Ust. Bakar untuk menerajui PAS Perak, seperti yang di sebutkan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Ust. Misbah dalam blognya bahawa perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Perak disambut baik oleh kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Dengan pengalaman sebagai pendidik agama, seluruh PAS Kawasan di Perak mengharapkan agar pengalaman mentarbiyyah di gunakan untuk mentarbiyyah ahli-ahli PAS. Beliau sememangnya sangat meminati bidang tarbiyyah haraki.

Menurutnya lagi Markaz Tarbiyyah Air Kuning sentiasa aktif dengan program-program Tarbiyyah yang dikendalikan oleh Lajnah yang dipengerusikan oleh beliau sebelum dari ini . Pengisian tarbiyyah begitu hidup sepanjang beliau menerajui lajnah tersebut. Pembentangan kertas-kertas tarbiyyah tidak hanya terikat dengan teks tertentu, malahan persoalan ekonomi, politik, ISA dan berbagai-bagai isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa turut diketengahkan. Pimpinan PAS silih berganti menyampaikan pengisian dengan tajuk-tajuk yang mencakupi semua aspek.

Seterusnya yang ditunggu oleh Ahli PAS di Perak ialah siapakah saf kepimpinan yang akan disenaraikan sebagai "tentera" yang akan bersama dengan "panglima" baru PAS Perak ini. Setahu saya Ust. Bakar masih di Mekah mengerjakan Umrah. Pastinya beliau akan menggunakan sepenuhnya masa untuk mendapatkan "ilham" sepanjang munajat beliau sebelum bali ke Perak.

Tahniah , Ust. Abu Bakar Husein.

No comments:

Post a Comment